top of page

Malaysia Hindhudharma Maamandram menyeru semua supaya menghormati Perlembagan Negara, Rukun Negara d


8hb Januari 2015

KENYATAAN MEDIA

Malaysia Hindhudharma Maamandram membantah kenyataan sayap pemuda Perkasa, Wira Perkasa bertajuk ‘Wira Perkasa Pertikai Kuil Di Putrajaya’, yang tertera di media elektronik Free Malaysia Today, Pada 8hb Januari 2015. Maamandram menganggap tindakan mengeluarkan persoalan dan kenyataan yang sedemikian oleh sayap itu adalah tidak wajar dan munasabah.

Pembinaan kuil di Presint 20 Putrajaya dipertikailan oleh sayap itu dengan menggunakan sebab bahawa kawasan ini diduduki majoriti kaum Melayu. Putrajaya bukannya milik sesuatu kaum, tetapi ia merupakan Pusat Pentadbiran Negara yang perlu dikongsi oleh semua rakyat Malaysia.

Jika dilihat sejarah kawasan Putrajaya ini, asal usulnya adalah estet-estet yang diduduki oleh kaum India yang beragama Hindu. Malah, kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam yang berkeluasan 1833.89 meter persegi di Presint 20 ini merupakan kuil penggantian kepada 15 buah kuil sederhana dan besar, yang telah dirobohkan sebelum ini, bagi memberi laluan pada pembinaan Putrajaya.

Pelan Induk Putrajaya pada tahun 1997 telah menetapkan plot-plot rezab agama-agama lain, termasuk kuil di Presint 20. Antara kuil-kuil Hindu yang telah dirobohkan demi proses pembinaan Putrajaya adalah kuil Sri Maha Mariamman di ladang Sidgelley (Presint 14), kuil Bukit Prang di Jalan B15, Ladang Prang Besar 2, kuil Sri Durga Kaliamman (Presint 20), serta kuil-kuil lain di Presint 7, 11, 13, 14, 15 dan 16.

Kenyataan sayap itu bahawa kuil-kuil yang di bina di Negara ini amat mudah mendapat kelulusan dan dibina bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, adalah tidak berdasar sama sekali. Tidak semudah itu untuk membina dan memelihara kuil. Kejadian kuil-kuil di roboh dan kuil-kuil yang dialih tempat kerap berlaku di seluruh Negara. Kuil-kuil pula tidak pernah menjadi penghalang kepada pembangunan dan aktiviti penduduk tempatan.

Sayugia diingatkan bahawa institusi rumah ibadat bukan Islam turut memainkan peranan yang penting dalam proses pembinaan modal insan yang berakhlak mulia. Perkara pembinaan kuil di Presint 20 juga telah dibentangkan di mesyuarat RIBI (Rumah Ibadat Bukan Islam) baru-baru ini di Melaka dan telah dihadiri oleh ahli Majlis Kebangsaan Malaysia Hindhudharma Maamandram. Menurut sumber DBKL, peruntukan pembinaan kuil ini adalah juga sebahagian daripada rancangan Kerajaan untuk mempamerkan prinsip kebebasan beragama di Negara kita.

Masyarakat majmuk Malaysia telah matang dan berupaya hidup secara aman dan damai, di samping menghormati perbezaan dari segi keagamaan, kebudayaan dan amalan harian. Adalah tidak elok jika rumah ibadat yang menjadi asas kepada sesuatu agama itu dipertikaikan.

Kenyataan sayap itu bercanggah dengan konsep perpaduan nasional, yakni 1Malaysia. Oleh itu, Malaysia Hindhudharma Maamandram menyeru kepada pihak yang terbabit supaya menghormati Perlembagan Negara, Rukun Negara dan amalan kebebasan beragama.

Vesuanathan Suppiah

Naib Presiden,

Malaysia Hindhudharma Maamandram

putrajaya.png


Featured Posts
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square

© All rights reserved by Maamandram

bottom of page